Perkembangan pesat globalisasi dalam industri telah meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran yang berdaya saing serta berkebolehan dalam pelbagai tugas. Bidang Rekabentuk Dalaman memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja yang berkelayakan, fleksibel, berfikiran kreatif, mahir dan terlatih serta mempunyai nilai murni bagi memenuhi keperluan perindustrian dan pemodenan negara selaras dengan usaha kerajaan memperkasakan Dasar TVET Negara 2030. Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti melaksanakan program Sijil Rekabentuk Dalaman bagi memenuhi keperluan industri.
Program ini memberi penekanan kepada pembelajaran teknologi berkaitan secara praktikal bagi memastikan pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang komprehensif. Sepanjang empat semester pengajian, termasuk latihan industri pelajar didedahkan kepada pengalaman dunia pekerjaan yang sebenar. Selain kemahiran teknikal, program ini turut membentuk kemahiran insaniah, etika profesionalisme dan nilai sahsiah diri yang kukuh sebagai persediaan untuk menceburi industri atau melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Program Sijil Rekabentuk Dalaman bertujuan untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam bidang rekabentuk dalaman, memenuhi keperluan industri dan bidang keusahawanan. Pelajar akan menguasai kemahiran merangkumi prinsip asas rekabentuk dalaman untuk ruang kediaman, pejabat, dan komersial, termasuk menghasilkan lukisan teknikal dan lakaran reka bentuk secara manual di samping penggunaan perisian komputer untuk menghasilkan lukisan 2 Dimensi dan 3 Dimensi serta pemodelan digital yang lebih interaktif. Selain itu, pelajar mempelajari tentang bahan binaan dan kemasan serta kepentingan kelestarian dalam rekabentuk dalaman. Pelajar juga diberikan pengetahuan mengenai kemudahan bangunan, sejarah seni bina, dan projek rekabentuk industri, pembuatan model, spesifikasi teknikal dan kursus keselamatan pekerja.
Program ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai cabang kerjaya serta memulakan perniagaan sendiri dalam bidang Rekabentuk Dalaman:
a. pembantu pereka bentuk dalaman
b. 3D visualizer
c. pelukis pelan
d. pembantu jururunding hiasan dalaman
e. penyelia tapak
f. pembuat model
g. pembekal bahan dan kemasan rekabentuk dalaman